«

»

Jul
07

Hijrah selebriti: ‘Perlu seimbang luaran, dalaman’

NAMA penceramah selebriti ini bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Malah beliau sentiasa menjadi tumpuan ke mana sahaja kakinya melangkah.

 Meskipun komitmennya dalam bidang ilmu agama memerlukan beliau fokus kepada bidang pilihan, namun setiap perubahan yang berlaku di dalam industri seni tidak pernah diketepikan.

 Begitulah pendirian Ustaz Kazim Elias, baginya, sebagai seorang penceramah juga perlu mengikuti setiap isu tidak kiralah berkaitan artis, masyarakat dan negara.

 Kerana itu, penghijrahan selebriti ke arah kebaikkan turut mendapat perhatiannya. Pesannya, dalami ilmu agama secukupnya bukan sekadar berubah penampilan semata-mata. Dan penghijrahan itu diharap bukanlah sekadar luaran sahaja sebaliknya biarlah seimbang dengan dalaman.

 “Perubahan positif dalam kalangan selebriti sebenarnya sangat bagus, tetapi hendaklah dipastikan ia bukan kerana ‘trend’ semata-mata,” tegasnya pada sidang media program Kembara U.K.E di Berjaya Times Square baru-baru ini.

 Akui penceramah yang terkenal dengan program Kalau Dah Jodoh ini, bukan mudah menjadi ustaz dan ustazah sementelah tiada istilah ‘ustaz atau ustazah segera’ di dunia ini.

 “Bukan bererti memakai tudung atau baru mendalami ilmu agama kita sudah boleh memberi ceramah kepada masyarakat.

 “Jika tidak betul info yang hendak disampaikan, pasti memburukkan keadaan,” katanya.

 Tambah Ustaz Kazim, pengaruh selebriti yang sering dianggap ikon atau idola oleh peminat juga memerlukan selebriti ini lebih berhati-hati selepas berhijrah.

 “Adakala kerana terlalu obses dengan selebriti, apa yang dilakukan mereka sentiasa menjadi ikutan, walhal mereka tidak sedar ada sesetengah perkara yang dilakukan kurang sempurna dan ini boleh menjejaskan pengikut mereka,” katanya hampir lima tahun melibatkan diri bersama selebriti dan cuba mendekati mereka untuk berkongsi ilmu.

 Katanya lagi, lebih memburukkan keadaan apabila media sosial yang sedia ada menyebarkan segala perlakuan dan tingkah laku golongan tersebut di Facebook, Twitter mahupun YouTube dalam masa beberapa saat sahaja.

 “Apapun, saya harap peminat dan masyarakat tidak menghukumi mereka dengan mudah, sebaliknya sama-samalah kita menegur atau menasihati dengan cara yang lebih lembut,” katanya.

- SH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.