«

»

Feb
26

TRIO HEBAT KEMBALIKAN NOSTALGIA PENONTON

SEBUT saja Sembilu, Maria Mariana, Tragedi Oktober dan Merah pasti terbayang tiga bintang hebat era 90-an, Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Setelah ‘terpisah’ 21 tahun, trio yang pernah menggegar panggung itu bakal kembali mengubat kerinduan peminat dalam sebuah pementasan Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya buat julung kalinya.

Berpeluang menemui ketiga-tiganya semalam dan menyaksikan salah satu babak persembahan konsert istimewa itu, Sinar Harian Online mengakui aura era itu masih ada.

Idea yang datang daripada Awie itu memberi ruang terbaik kepada ketiga-tiga penyanyi dan pelakon ini bertemu kembali di pentas.

“Inilah kali pertama, gabungan tiga artis yang terpisah 21 tahun, kembali berada di atas pentas secara ‘live’.

“Bukan saja mempamerkan bakat nyanyian tetapi juga bakat lakonan. Kita buat konsert dan teater yang digabungkan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Istana Budaya pada sesi latihan konsert tersebut.

Sementara itu, penyanyi bersuara lantang dengan ‘trademark’ kening terangkat, Ziana Zain menyifatkan menggalas tugas untuk berlakon dengan beberapa watak dan menyanyi pada masa sama bukan kerja mudah.

“Saya rasa konsert ini memang peluang untuk kami ‘reunion’. Malah respons daripada peminat juga menantikan gabungan kami.

“Sudah tentu dalam teaterikal ini ada babak-babak yang komedi dan banyak elemen di dalamnya. Saya pegang tiga watak, awal-awal rasa gila tapi apabila sudah terbiasa rasa seronok pula,” katanya.

Ziana juga mengharapkan peminat-peminat tegar mereka bakal membanjiri Panggung Sari Istana Budaya untuk menonton persembahan mereka.

“Banyak yang berlaku kepada peminat-peminat kami, yang membesar dengan kami. Ada juga yang kerana cerita ini, lagu ini, mereka bergaduh, berkahwin.

“Kami harapkan peminat-peminat tegar akan datang beramai-ramai. Kita buat ‘reunion’ dan ingat kembali nostalgia dulu-dulu,” katanya.

Sementara Erra turut akui teruja menanti hasil garapan pengarah terkenal Erma Fatimah yang mengetengahkan lagu-lagu popular ketika itu.

“…khususnya kepada peminat-peminat zaman Sembilu. Mungkin ada lagu-lagu atau cerita yang melekat di hati, maka inilah masanya untuk kita mengembalikan nostalgia-nostalgia lama.

“Dalam konsert ini ada banyak sangat lagu-lagu yang popular dipopularkan oleh Ziana Zain dan Awie. Walaupun saya turut terlibat sama, saya sangat teruja kerana kenangan itu banyak,” katanya.

Konsert menelan kos sebanyak RM1.4 juta terbitan Awie Entertainment Sdn Bhd ini bakal berlangsung selama seminggu bermula 3 hingga 9 Mac depan.

Konsert Teaterikal Suara Kita juga mendapat sentuhan Erma Fatima sebagai pengarah bersama, penerbit Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi dan komposer Edrie Hashim sebagai pengarah muzik. – SH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.